Thursday, March 8, 2007

UMUR BUKAN PENGHALANG


Hari ini, saya bersama rakan-rakan RK; Abg Ahmad Fadzli, Sdr. Afyan dan Sdr. Hafiz telah turun ke SMK Pandan Mewah bagi menganjurkan Kursus Kepimpinan untuk Pengawas dan Ketua Tingkatan SMK Pandan Mewah. Program tersebut dihadiri seramai 203 orang pelajar dari seluruh tingkatan. Program selama sehari ini memang best terutama sekali para peserta yang bersemangat, penuh dedikasi dan memberi kerjasama 120% kepada team RK. Tidak lupa juga, jutaan terima kasih kepada Cikgu Stanley keranasudi menjemput dan memberi peluang kepada RK turun membantu para pemimpin di SMK Pandan Mewah.

Cuma apa yang lebih mengagumkan ialah Ketua dan Penolong Ketua Pelajar sekolah ini. Mengapa tidak? Jika biasanya rata-rata sekolah melantik Ketua Pelajar di kalangan pelajar tingkatan 6 atau tingkatan 5, tetapi keadaannya berbeza di sekolah ini.

Wow!!! SMK Pandan Mewah elah mengambil satu langkah yang menarik dan unik dengan melantik pelajar TINGKATAN 3 sebagai Ketua dan Penolong Ketua Pelajar. Lebih menarik, Ketua Pelajar merupakan seorang pelajar perempuan! Mungkin isu pelajar perempuan sebagai Ketua Pelajar adalah isu biasa, tetapi bila dikira faktor usianya yang baru mencecah 15 tahun, ini merupakan satu kehebatan luarbiasa baginya!

Nadiah Shahira, apabila ditanya sejauhmana program RK dan modul-modul yang diikuti dapat membantu daya kepemimpinannya, beliau menjawab, "Mesej utama dari RK iaitu untuk menjadi pemimpin hebat melalui kuasa prihatin, bersangka baik, berkasih sayang, menjadi sahabat dan membimbing merupakan elemen yang amat penting untuk membantu saya menjalankan tugas terutama sekali apabila berurusan dengan pelajar-pelajar tingkatan 4 dan 5 yang pasti lebih tua dari saya."

Penolong Ketua Pelajar pula, Sdr. Vicky atau nama penuhnya Vikneshwaran menyatakan, "Program hari menyebabkan saya rasa tiada lagi halangan antara saya dengan rakan-rakan pengawas yang lain terutama yang berbangsa Melayu dan Cina. Saya pasti akan mengaplikasikan budaya ini kepada pelajar-pelajar lain."

Bagi saya, benarlah kata pepatah Ingeris, "A leader is not borned, but a leader is made." Saya juga tidak menafikan memang wujud manusia yang dilahirkan untuk menjadi pemimpin, tetapi secara dominan... pemimpin dibentuk dan dilatih. Sepertimana kata Maxwell dalam bukunya, '21 Irrefutable Laws of Leadership' bahawa kepemimpinan adalah PROSES.

Kebanyakan kita salah faham bahawa pemimpin mesti memberi arahan, menghukum pengikut yang melakukan kesalahan, memarahi pengikut yang melanggar peraturan dsb. Walhal, pemimpin sebenar ialah mereka yang memberi dorongan, memberi inspirasi, membimbing, mempengaruhi sekaligus tidak memaksa-maksa. Pengikut akan mengikut pemimpin atas rasa sedar dan mereka tahu mereka perlu lakukan sesuatu arahan dengan perasaan rela, bukan terpaksa. Dengan ini, tidak kira apa jua usia seseorang pemimpin, ia tidak menjadi halangan.

Saya percaya Nadiah dan Vicky sedang berada dalam perjalanan atau landasan proses ke arah menjadi pemimpin yang hebat pada masa depan. Mereka bakal menjadi pemimpin remaja yang akan membantu remaja lain menjadi lebih baik dan menyedari hak serta kemampuan sebenar mereka untuk berjaya!


Bergambar kenangan. Dari kiri; Ahmad Fadzli, Vicky, Nadia dan saya :)

13 Mac ini, RK akan bertandang bersama pelajar-pelajar SMK (P) Jalan Ipoh. Tak sabar rasanya!

Sunday, March 4, 2007

GAYA BERFIKIR

Gaya berfikir banyak mempengaruhi cara bertindak dan rentak hidup seseorang. Seperti kata pepatah, "Seseorang itu adalah sepertimana yang difikirkan. Oleh itu, berfikirlah seperti JUARA." Begitu juga lagu lama yang pernah popular di televisyen;

Jika kau fikirkan kau boleh,
Kau hampiri melakukan,
Jika kau fikirkan ragu-ragu,
Usahamu tidak menentu.

Engkaulah apa kau fikirkan,
Terkandung dalam pemikiran,
Berfikir boleh melakukan,
Fikirkan BOLEH!


Cara berfikir juga mencorakkan mentaliti seseorang sekaligus membezakan antara sesama manusia mahupun sesama bangsa, kaum dan agama. Sebab itu, ada bangsa yang hebat dalam ekonomi, ada bangsa yang malas, ada bangsa yang dianggap golongan kelas ketiga. Puncanya hanya kerana mentaliti yang menatijahkan gaya hidup dan tidak mustahil nasib sesuatu bangsa.

Sebagai analogi, lebih mudah saya menggunakan contoh dunia artis sebagai contoh untuk memperjelaskan kenyataan saya di atas. Cuba anda perhati dan kenal pasti apakah perbezaan antara beberapa artis kelahiran rancangan realiti tv dari 2 bangsa berbeza;

Jaclyn Victor
1. Juara Malaysian Idol musim pertama
2. Lagu pertama nyayian beliau; Gemilang
3. Keterangan lagu; Merupakan lagu motivasi dan memberi inspirasi untuk berjaya
4. Pencapaian semasa: Sudah melahirkan album sendiri, Anugerah Juara Lagu, Juara 8th Asian New Talent Competition dll.
5. Bangsa: Hindu (bukan Melayu)

Suki
1. Juara One in a Million
2. Lagu pertama nyanyian beliau; Berdiri
3. Keterangan lagu; Juga merupakan lagu motivasi agar manusia teguh berdiri untuk berjaya
4. Pencapaian semasa: Menyatakan hasrat untuk menyambung pengajian menggunakan duit yang dimenanginya (wawancara Malaysia Hari Ini)
5. Bangsa: Cina (juga bukan Melayu)

Pija
1. Juara Mentor
2. Lagu pertama nyanyian beliau: Luka
3. Keterangan lagu; Merupakan lagu ekspresi kekecewaan bercinta, luka kerana kegagalan bercinta.
4. Sanggup berhenti sekolah kerana ingin menumpu kepada karier menyanyi
5. Pencapaian semasa: Belum ada album, penonjolan banyak di siaran Media Prima khasnya TV3 sahaja.

Apa yang ingin saya nyatakan, ini cukup menerangkan beza gaya berfikir atau mentaliti antara bangsa Melayu dan bangsa bukan Melayu. Bangsa Melayu banyak 'bertongkat' dan tidak mempersiapkan diri dengan 'fall back'.

Mungkin ada yang berkata, bagaimana pula dengan Mawi? Dia seorang artis realiti berbangsa Melayu dan dia mampu menjadi jutawan! Bagi saya, Mawi dikategorikan dalam isu berbeza. Mawi merupakan fenomena yang mungkin berlaku 1 dalam 1000, atau mungkin 1 juta.

Oleh yang demikian, perlu kita sedari bahawa mentaliti amat penting dalam menentukan berjaya atau gagal seseorang itu. Memetik temuramah bersama Pengurus baru England; Steve McLaren tatkala ditanya mengenai pengalamannya bekerja bersama Pengurus Man Utd, Sir Alex Fergusan, beliau menjawab, "Bekerja bersama Ferguson memang menakjubkan. Beliau mempunyai mentaliti sentiasa ingin MENANG! Itu yang menyebabkannya menjadi hebat."

Justeru, tidak kira siapa kita samada dari kaum Melayu, Cina atau India... kita semua berhak untuk berjaya. Berjaya dalam pekerjaan, berjaya dalam akademik, berjaya dalam karier, berjaya mengurus dan memimpin organisasi. Ianya bermula dari MENTALITI positif, keinginan untuk menang, yakin boleh, percaya pada keupayaan diri, sentiasa ingin belajar, tidak putus asa! Percayalah, natijahnya, anda akan bertindak dengan sikap-sikap sepertimana yang difikirkan!

Saturday, February 24, 2007

MENERIMA DAN 'MEMBERI'

Ada yang beranggapan bahawa apa yang kita miliki akan semakin sedikit dan semakin berkurang apabila 'memberi'. Ada yang berfikir bahawa amat rugi untuk memberi kerana ia akan menyebabkan harta semakin kurang, duit semakin sikit dan kerana duit atau harta yang dikeluarkan untuk memberi.

Akibatnya, budaya 'infak' (berkorban harta benda) yang dididik oleh Rasulullah SAW sejak lebih 1400 tahun dahulu semakin terhakis. Manusia makin mementingkan diri sendiri. Asalkan diri sendiri masih ada duit, tak jadi papa kedana dan mempunyai pelbagai kesenangan... itu sudah mencukupi.

Salah seornag individu terkaya di New York, Donald Trump pernah berkata, "Sudah terlalu banyak saya menerima daripada masyarakat dan hasilnya ialah kekayaan yang saya miliki sekarang. Justeru, sudah tiba masanya untuk saya memberi semula..."

Inilah mentaliti individu yang tidak menganggap bahawa 'memberi' itu satu kerugian. Malah dengan 'memberi', ia merupakan pelaburan jangkamasa panjang yang akan melipat kali gandakan apa yang kita miliki samada dari segi harta kekayaan, maruah, nama baik, penghormatan dsb.

Covey pernah berkata, 'Seek to understand to be understood' iaitu untuk kita dihormati, kita mesti bersedia untuk menghormati. Begitu juga kita tidak akan menerima apa-apa jika kita tidak sedia 'memberi'. Justeru, dengan 'memberi', sebenarnya kita tidak rugi apa-apa.

Saya bersyukur kepada Tuhan atas apa yang saya miliki dan apa yang ada pada diri saya hari ini. Kira-kira 8 tahun yang lalu, saya telah banyak menerima didikan dari sebuah sekolah yang dinamakan SMKA Falahiah. Di sinilah saya mula mempelajari al-Qur'an, mengamalkan Islam sebagai cara hidup dan memulakan langkah pertama dalam dunia kepemimpinan. Di sini juga saya mula belajar bagaimana untuk berucap di khalayak ramai, mengurus organisasi dan membina kemahiran komunikasi.

Telah banyak saya menerima dari sekolah tersebut. Kini, sudah tiba masanya untuk saya 'memberi' sebagai balasan di atas apa yang saya terima suatu ketika dahulu...




Saya bersama rakan alumni SMKA Falahiah (al-Falah) menyampaikan sumbangan buku-buku RK kepada perpustakaan sekolah melalui Pengetua, Ustaz Abdul Rahim Osman. Semoga pemberian yang tak seberapa ini menjadi kebanggaan guru-guru yang pernah mendidik saya dan menjadi inspirasi buat adik-adik warga Falahiah.

Terima kasih guru... Buat guru-guru yang telah meniggal dunia, Allahyarhamah Cikgu Zainab, Allahyarham Ustaz Mat Awang, Allahyarham Ustaz Muhammad al-Qari dan Allahyarham Ustaz Othman Che Ya... al-Fatihah buat anda... jasa anda tidak akan saya lupakan...

Sunday, February 18, 2007

TOLONG-MENOLONG

Saya sedang merancang untuk menulis beberapa buku lagi untuk 2007. Mungkin dalam 2 atau 4 title lagi. Cuma buat masa sekarang, saya sedang memikirkan tajuk sesuai dan relevan dengan kehendak pembaca masa kini. Berikut adalah cadangan tajuk-tajuk yang bakal saya tulis dan saya mengharapkan bantuan anda untuk memilih dan memberi pandangan;

1. Resipi Kejayaan Teknik Mempengaruhi
2. Resipi Kejayaan Ucapan Berkuasa
3. Resipi Kejayaan Seni Berunding
4. Resipi Kejayaan Aktivis Mahasiswa
5. Resipi Kejayaan Personaliti Da Bomb!

Sila kemukakan pandangan dan pilihan anda pada ruangan komen yang disediakan di bawah entri ini. Jika memberi idea, pandangan dan pilihan anda berdasarkan senarai tajuk di atas diterima, nama anda akan muncul dalam dedikasi buku yang diterbitkan.

Jika anda ada tajuk lain yang ingin dicadangan juga amat-amat dialukan. Tetapi tertakluk kepada pengetahuan saya dan sumber maklumat.

Tuesday, February 13, 2007

KUALITI

Di dalam buku Maxwell bertajuk '25 Ways to Win People', beliau menyatakan dan menerangkan dengan menarik dan kreatif bagaimana cara-cara memenangi orang agar mudah didampingi. Saya tidak berhasrat untuk menerangkan 25 cara tersebut, tetapi saya tertarik dengan tulisannya dalam bab terawal mengenai 'kualiti diri'.

Dalam salah satu bengkel yang pernah dikendalikan Maxwell, beliau membuat satu simulasi iaitu mengeluarkan sehelai wang kertas bernilai $50 USD. Perkara pertama dilakukannya ialah menunjukkan ke arah peserta dan bertanya, "Adakah anda mahukan wang ini jika saya ingin berikan kepada anda?" Lantas kesemua peserta menjawab, "Sudah pasti kami mahu!"

Kemudian Maxwell menggenggam dan menggumpal wang kertas tadi ke dalam tapak tangannya lalu bertanya lagi, "Adakah anda masih mahukan wang ini jika saya ingin berikan kepada anda?" Kesemua peserta tetap menjawab, "Sudah pasti kami mahu!"

Lalu Maxwell meletakkan wang kertas tadi di atas lantai dan memijak-mijak wang kertas tadi dan mengangkatnya seraya bertanya lagi, "Adakah anda tetap mahukan wang ini yang sudah kotor dipijak-pijak jika saya ingin berikan kepada anda?" Kesemua peserta masih menjawab, "Sudah pasti kami mahu!"

Cuba anda bandingkan jika saya lakukan pada sehelai kertas. Jawapan anda mungkin sama dengan peserta bengkel di atas pada awalnya jika saya tawarkan untuk berikan kepada anda, tetapi setelah saya menggumpal dan memijak-mijaknya, anda mungkin berfikir 2 kali atau langsung berubah fikiran! Mengapa?

Beza antara kertas kosong dan wang kertas tadi ialah pada 'nilai'. Nilai itu adalah 'kualiti'. Jika seseorang itu mempunyai kualiti diri, lemparkanlah atau buatlah apa sahaja ke atas seseorang itu, dia tetap berguna dan sentiasa diperlukan oleh masyarakat.

Sebagai simulasi, ingin saya berkongsi apa yang saya dapat ketika terbaca laporan Grammy Awards kali ke-49 di dalam
Harian Metro hari ini, bukan mengenai Christina Aguilera ataupun Siti Nurhaliza yang mencatat sejarah sebagai jemputan di kalangan anak tempatan, tetapi mengenai kumpulan trio wanita popular yang tampil dengan album country, Dixie Chicks yang meraih lima anugerah Grammy.

Kumpulan dianggotai Natalie Maines, Emily Robinson dan Dan Wilson pernah mengkritik Presiden Bush sewaktu menjayakan konsert di London. Ketika mengadakan persembahan mereka turut membawa mesej keamanan dengan mengecam polisi Bush yang menghantar tentera AS ke Iraq dengan lantang berkata;

"Kami berasa malu kerana Bush turut berasal dari Texes, tempat kelahiran kami.”

Kritikan menyebabkan penyokong setia Presiden AS berang dan karya mereka dipulaukan sehingga album dihasilkan tidak terjual. Hmm... inikah model kerajaan demokratik sepertimana yang dilaungkan Bush?

Sewaktu menerima anugerah Rekod Terbaik, Natalie secara sinis berkata dia memohon maaf kepada penganjur kerana kemenangan mereka malam itu menyebabkan ramai pihak menutup televisyen tanda memulaukan anugerah Grammy.

Penguasaan kumpulan Dixie tidak dapat disekat apabila mereka meraih beberapa anugerah utama iaitu Rekod Terbaik Keseluruhan, Rekod Terbaik dan Lagu Terbaik menerusi album Not Ready To Make Nice. Mereka turut mengungguli dua anugerah bagi kategori Album Country Terbaik.

Lihatlah bagaimana kualiti yang dimiliki kumpulan ini sehinggakan sekatan kerajaan Amerika tidak mampu menghalang kejayaan kumpulan ini dalam anugerah yang berkelas dunia!

Ramai orang mengeluh, aku sebagai CEO syarikat, tapi kenapa pekerja aku bersikap kurang ajar? Aku adalah Presiden organisasi, tetapi mengapa ramai yang tidak menghormatiku? Dulu, dalam persatuan lama, aku dipandang tinggi tetapi kini dalam persatuan baru, setiap arahanku dipandang sepi?

Pandangan saya, jangan salahkan orang lain. Lihat dulu pada diri anda. Mungkin anda perlu tingkatkan 'nilai' atau 'kualiti diri'! Terpulang pada anda samada ingin menjadi 'kertas kosong' atau 'wang kertas'. Sekian.

Monday, February 5, 2007

KURSUS KEPEMIMPINAN DI SMK TAMAN MELAWATI

RK Training & Management memulakan tahun 2007 dengan program pertama di SMK Taman Melawati. Di sini saya berkongsi kegembiraan dan keseronokan melatih para pelajar untuk menjadi pemimpin hebat di sekolah.

Saya memulakan program dengan mengendalikan slot Ice-Breaking...

"Pendek..."

Presiden-presiden dan setiausaha-setiausaha persatuan SMK Taman Melawati sedang mengikuti slot ice-breaking bersama saya.

"Panjang..."

En. Ahmad Fadzli meneruskan program dengan ceramah membina wibawa pemimpin, pemimpin sebagai sahabat dan mentor...

Hafiz bertindak sebagai 'Tarzan' bagi menjayakan modul komunikasi pemimpin.

Salah seorang peserta menjadi Jane sedang berkomunikasi untuk membantu Tarzan. Seronok betul melihat gelagat para pelajar dan Tarzan...

Afyan dengan kepakarannya mengendalikan slot 'Team Building'...

Bersama Cikgu Julia di penghujung program.

Buat semua pemimpin pelajar SMK Taman Melawati... anda semua memang best. Kami amat gembira kerana dapat berjumpa kalian...

Thursday, February 1, 2007

PRA-PENGENALAN BUKU SAYA (1)

Bulan April nanti, jika tiada halangan maka dengan izin-Nya akan dilancarkan 2 buku terbaru saya; RK Pemimpin Wibawa dan RK Mesyuarat Efektif. Kedua-dua buku itu akan dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa, Kuala Lumpur.

Di sini suka saya berkongsi mengapa saya memilih untuk menulis kedua-dua topik tersebut;

RK Pemimpin Wibawa

1. Kerana ramai orang membuat salah anggapan bahawa untuk menjadi pemimpin, mereka mesti ada jawatan rasmi, memakai uniform atau memiliki pejabat yang gah.

Walhal, mengikut kajian Gallop, jawatan hanya 15% faktor kejayaan kepemimpinan.

2. Kerana tanggapan salah bahawa menjadi pemimpin maka seseorang itu mesti mengarah itu dan ini. Semakin berjaya seseorang itu 'mengarah' pengikutnya, maka semakin hebat seseorang itu sebagai pemimpin.

Walhal, memimpin mempunyai kaitan dengan mempengaruhi, mendorong, membimbing dan memandu arah.

3. Kerana mentaliti salah bahawa bila memimpin, maka seseorang itu tidak bertanggungjawab langsung mengurus organisasi.

Walhal, memimpin dan mengurus walaupun 2 perkara yang berbeza, tetapi mempunyai hubung kait yang amat rapat dan saling memerlukan antara satu sama lain.

RK Mesyuarat Efektif

1. Kerana ramai yang terlalu 'suka' bermesyuarat tetapi tidak menghasilkan apa-apa gerak kerja.

2. Kerana seringkali berlaku mesyuarat terlalu kerap dilakukan tetapi organisasi tetap lesu, tidak produktif dan gagal berfungsi dengan baik.

3. Kerana ramai penggerak organisasi menganggap bahawa mesyuarat adalah prioriti utama pada setiap masa.

Moga buku-buku tulisan saya dapat membantu meleraikan masalah di atas...