Saturday, February 24, 2007

MENERIMA DAN 'MEMBERI'

Ada yang beranggapan bahawa apa yang kita miliki akan semakin sedikit dan semakin berkurang apabila 'memberi'. Ada yang berfikir bahawa amat rugi untuk memberi kerana ia akan menyebabkan harta semakin kurang, duit semakin sikit dan kerana duit atau harta yang dikeluarkan untuk memberi.

Akibatnya, budaya 'infak' (berkorban harta benda) yang dididik oleh Rasulullah SAW sejak lebih 1400 tahun dahulu semakin terhakis. Manusia makin mementingkan diri sendiri. Asalkan diri sendiri masih ada duit, tak jadi papa kedana dan mempunyai pelbagai kesenangan... itu sudah mencukupi.

Salah seornag individu terkaya di New York, Donald Trump pernah berkata, "Sudah terlalu banyak saya menerima daripada masyarakat dan hasilnya ialah kekayaan yang saya miliki sekarang. Justeru, sudah tiba masanya untuk saya memberi semula..."

Inilah mentaliti individu yang tidak menganggap bahawa 'memberi' itu satu kerugian. Malah dengan 'memberi', ia merupakan pelaburan jangkamasa panjang yang akan melipat kali gandakan apa yang kita miliki samada dari segi harta kekayaan, maruah, nama baik, penghormatan dsb.

Covey pernah berkata, 'Seek to understand to be understood' iaitu untuk kita dihormati, kita mesti bersedia untuk menghormati. Begitu juga kita tidak akan menerima apa-apa jika kita tidak sedia 'memberi'. Justeru, dengan 'memberi', sebenarnya kita tidak rugi apa-apa.

Saya bersyukur kepada Tuhan atas apa yang saya miliki dan apa yang ada pada diri saya hari ini. Kira-kira 8 tahun yang lalu, saya telah banyak menerima didikan dari sebuah sekolah yang dinamakan SMKA Falahiah. Di sinilah saya mula mempelajari al-Qur'an, mengamalkan Islam sebagai cara hidup dan memulakan langkah pertama dalam dunia kepemimpinan. Di sini juga saya mula belajar bagaimana untuk berucap di khalayak ramai, mengurus organisasi dan membina kemahiran komunikasi.

Telah banyak saya menerima dari sekolah tersebut. Kini, sudah tiba masanya untuk saya 'memberi' sebagai balasan di atas apa yang saya terima suatu ketika dahulu...




Saya bersama rakan alumni SMKA Falahiah (al-Falah) menyampaikan sumbangan buku-buku RK kepada perpustakaan sekolah melalui Pengetua, Ustaz Abdul Rahim Osman. Semoga pemberian yang tak seberapa ini menjadi kebanggaan guru-guru yang pernah mendidik saya dan menjadi inspirasi buat adik-adik warga Falahiah.

Terima kasih guru... Buat guru-guru yang telah meniggal dunia, Allahyarhamah Cikgu Zainab, Allahyarham Ustaz Mat Awang, Allahyarham Ustaz Muhammad al-Qari dan Allahyarham Ustaz Othman Che Ya... al-Fatihah buat anda... jasa anda tidak akan saya lupakan...