Thursday, March 8, 2007

UMUR BUKAN PENGHALANG


Hari ini, saya bersama rakan-rakan RK; Abg Ahmad Fadzli, Sdr. Afyan dan Sdr. Hafiz telah turun ke SMK Pandan Mewah bagi menganjurkan Kursus Kepimpinan untuk Pengawas dan Ketua Tingkatan SMK Pandan Mewah. Program tersebut dihadiri seramai 203 orang pelajar dari seluruh tingkatan. Program selama sehari ini memang best terutama sekali para peserta yang bersemangat, penuh dedikasi dan memberi kerjasama 120% kepada team RK. Tidak lupa juga, jutaan terima kasih kepada Cikgu Stanley keranasudi menjemput dan memberi peluang kepada RK turun membantu para pemimpin di SMK Pandan Mewah.

Cuma apa yang lebih mengagumkan ialah Ketua dan Penolong Ketua Pelajar sekolah ini. Mengapa tidak? Jika biasanya rata-rata sekolah melantik Ketua Pelajar di kalangan pelajar tingkatan 6 atau tingkatan 5, tetapi keadaannya berbeza di sekolah ini.

Wow!!! SMK Pandan Mewah elah mengambil satu langkah yang menarik dan unik dengan melantik pelajar TINGKATAN 3 sebagai Ketua dan Penolong Ketua Pelajar. Lebih menarik, Ketua Pelajar merupakan seorang pelajar perempuan! Mungkin isu pelajar perempuan sebagai Ketua Pelajar adalah isu biasa, tetapi bila dikira faktor usianya yang baru mencecah 15 tahun, ini merupakan satu kehebatan luarbiasa baginya!

Nadiah Shahira, apabila ditanya sejauhmana program RK dan modul-modul yang diikuti dapat membantu daya kepemimpinannya, beliau menjawab, "Mesej utama dari RK iaitu untuk menjadi pemimpin hebat melalui kuasa prihatin, bersangka baik, berkasih sayang, menjadi sahabat dan membimbing merupakan elemen yang amat penting untuk membantu saya menjalankan tugas terutama sekali apabila berurusan dengan pelajar-pelajar tingkatan 4 dan 5 yang pasti lebih tua dari saya."

Penolong Ketua Pelajar pula, Sdr. Vicky atau nama penuhnya Vikneshwaran menyatakan, "Program hari menyebabkan saya rasa tiada lagi halangan antara saya dengan rakan-rakan pengawas yang lain terutama yang berbangsa Melayu dan Cina. Saya pasti akan mengaplikasikan budaya ini kepada pelajar-pelajar lain."

Bagi saya, benarlah kata pepatah Ingeris, "A leader is not borned, but a leader is made." Saya juga tidak menafikan memang wujud manusia yang dilahirkan untuk menjadi pemimpin, tetapi secara dominan... pemimpin dibentuk dan dilatih. Sepertimana kata Maxwell dalam bukunya, '21 Irrefutable Laws of Leadership' bahawa kepemimpinan adalah PROSES.

Kebanyakan kita salah faham bahawa pemimpin mesti memberi arahan, menghukum pengikut yang melakukan kesalahan, memarahi pengikut yang melanggar peraturan dsb. Walhal, pemimpin sebenar ialah mereka yang memberi dorongan, memberi inspirasi, membimbing, mempengaruhi sekaligus tidak memaksa-maksa. Pengikut akan mengikut pemimpin atas rasa sedar dan mereka tahu mereka perlu lakukan sesuatu arahan dengan perasaan rela, bukan terpaksa. Dengan ini, tidak kira apa jua usia seseorang pemimpin, ia tidak menjadi halangan.

Saya percaya Nadiah dan Vicky sedang berada dalam perjalanan atau landasan proses ke arah menjadi pemimpin yang hebat pada masa depan. Mereka bakal menjadi pemimpin remaja yang akan membantu remaja lain menjadi lebih baik dan menyedari hak serta kemampuan sebenar mereka untuk berjaya!


Bergambar kenangan. Dari kiri; Ahmad Fadzli, Vicky, Nadia dan saya :)

13 Mac ini, RK akan bertandang bersama pelajar-pelajar SMK (P) Jalan Ipoh. Tak sabar rasanya!

No comments: